Ramai yang kata Besut ini menjadi daerah Terengganu kerana kalah sabung ayam, tetapi itu cuma mitos semata-mata.
Dan Besut sebenarnya pernah menjadi kerajaan sendiri, dan hanya menjadi daerah Terengganu pada tahun 1899.
Besut merupakan daerah paling utara di Terengganu, dan merupakan tempat jeti untuk ke Pulau Perhentian, iaitu di Jertih dan Kuala Besut.
Keluasannya ialah 730km², dengan penduduknya berjumlah 120,000 orang.
Ia bersempadan dengan daerah Pasir Puteh di Kelantan.
Menurut buku Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji dan Pelayaran Abdullah ke Kelantan oleh Munsyi Abdullah, nama Besut ini datang dari nama ketua orang asli di kawasan tersebut.
Kemudian pedagang dari Palembang tiba di kawasan tersebut apabila mahu ke Pattani.
Pedagang tersebut menukarkan barang-barang berharga seperti mata kail, timah, dan besi kepada orang asli tersebut, sebagai pertukaran untuk tanah di kawasan terbabit.
Kemudian mereka mendirikan pelabuhan yang dipanggil sebagai Kota Palembang.
Besut kemudiannya mula menjadi sebuah kerajaan, dan menjadi pusat perdagangan penting terutamanya mereka dari arah Pahang, Johor atau Riau untuk ke Pattani, yang ketika itu sebuah empayar yang berpengaruh di Asia Tenggara.
Che Latiff, yang mendirikan kerajaan tersebut kemudiannya mangkat, menyerahkan pemerintahannya kepada anaknya, Che Kamat.
Bagaimanapun semasa zaman pemerintahan Che Kamat, lanun sering menyerang Besut. Kampung dibakar, rumah dirompak, anak dara dilarikan.
Che Kamat meminta bantuan Terengganu untuk menghalang serangan lanun yang diketuai Panglima Ebeh dan Panglima Garang.
Sultan Mansur I menghantar bala tenteranya ke Besut untuk mengamankan keadaan, diketuai oleh Tengku Kadir. Terengganu berjaya menghalau lanun tersebut ke Pulau Perhentian.
Salah satu sebab mengapa ia dipanggil Pulau Perhentian, kerana ia merupakan tempat para pedagang dari Pattani ke Johor untuk berhenti rehat.
Sejak ia menjadi tempat lanun, pedagang beralih ke Kuala Besut sebagai tempat untuk berehat.
Tengku Kadir kemudiannya menjadi Raja Besut, dengan Che Kamat menjadi pembesar. Pentadbiran Besut kemudiannya berpindah ke Kampung Raja, dengan membina kubu di sekitar Kota Palembang.
Tengku Kadir mangkat pada tahun 1835, dengan anaknya, Tengku Ali sebagai Raja Besut yang baru.
Pentadbiran Tengku Ali sering diganggu oleh pentadbiran pusat di Terengganu, terutamanya dalam pemungutan cukai. Ini menyebabkan orang Besut marah, kerana Besut cuma kerajaan naungan Terengganu sahaja.
Pada tahun 1876, Besut isytihar perang ke atas Terengganu yang dipanggil sebagai Perang Besut. Sultan Omar, Sultan Terengganu mengarahkan 8,000 orang tenteranya berdepan dengan pemberontak Besut, yang dibantu oleh Kelantan.
Kerana itu, Sultan Omar mengadu kepada Raja Siam dan Gabenornya di Singgora (kini Songkhla) atas tindakan Kelantan itu.
Kerana itu, Sultan Omar mengadu kepada Raja Siam dan Gabenornya di Singgora (kini Songkhla) atas tindakan Kelantan itu.
Pemberontak Besut dikalahkan, dan Terengganu melantik Tengku Ngah yang lebih mesra dengan Sultan Terengganu sebagai Raja Besut yang baru.
Tengku Ali dibuang daerah ke Kelantan bersama pengikutnya.
Pelantikan Tengku Ngah ini bagaimanapun dibantah oleh Tengku Muda, yang mempunyai pengikutnya juga.
Tengku Muda kemudiannya membuat pentadbirannya sendiri di Kampung Lampu, menentang Tengku Ngah di Kampung Raja.
Tengku Ngah meletak jawatan dan meletakkan adiknya, Tengku Chik Haji sebagai Raja Besut yang baru.
Tengku Muda tidak berpuas hati, lalu menyebabkan Sultan Terengganu campurtangan.
Sultan berpendapat, Kampung Raja lebih sesuai menjadi pusat pentadbiran, kerana ia lebih dekat dengan sungai, berbanding Kampung Lampu. Tengku Muda pada akhirnya berpuas hati dengan pampasan yang diberi, dan menyaksikan Tengku Chik Haji mentadbir Besut dengan aman.
Tengku Chik Haji kemudiannya dibenarkan mengutip cukai, dan mendirikan madrasah untuk perkembangan Islam. Selepas Tengku Chik Haji mangkat, anaknya Tengku Ngah II mentadbir Besut, dan menghantar Bunga Mas ke Siam selama 19 tahun sebelum mangkat.
Tengku Ngah II tidak mempunyai waris, menyebabkan Besut tidak ada raja untuk mentadbir. Terengganu kemudiannya mengambil alih Besut dan menjadikannya sebahagian dari negeri tersebut.
Yang sabung ayam tu sebenarnya berlaku pada zaman Tengku Ali.
Ketika itu putera raja Terengganu melawan sabung ayam dengan seorang Bugis, dan kalah. Bugis tersebut salah sangka dan ingat Besut milik Terengganu, dan tidak tahu Besut merdeka dan cuma negeri naungan sahaja.
Terengganu meminta Long Yunus, raja Kelantan yang mahir sabung ayam.
Sumber:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=600660076759154&id=274015759423589
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=703101353189585&id=673992059433848
Tiada ulasan:
Catat Ulasan